Highlight SUKAN

Zulfadli, Arif mula langkah kanan

187 reads
0 likes
Zulfadli, Arif mula langkah kanan

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkifli dan Mohd. Arif Abdul Latif bermula dengan langkah kanan apabila kedua-duanya layak ke pusingan kedua dalam Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Yonex Sunrise Masters Malaysia 2015 yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching semalam.

Pada pusingan pertama, Zulfadli hanya memerlukan 29 minit untuk menjinakkan pemain Indonesia, Nathaniel Ernestan Sulistyo dengan kemenangan straight set 21-8, 21-5.

Namun, berbeza pula dengan Mohd. Arif yang terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan lawan dari Indonesia, Andre Marteen 22-20, 21-19 dalam pertarungan selama 45 minit.

Menurut Zulfadli, walaupun mencatat kemenangan mudah, namun dia belum berpuas hati dengan persembahannya semalam.

“Masih banyak yang perlu diperbaiki dalam gaya permai­nan saya selain belum menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan angin di sini.

“Ini adalah kejohanan antarabangsa pertama saya bagi tahun 2015 dan semestinya saya mahu membuka buku baharu dengan kejayaan manis,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan itu di Kuching semalam.

Bagi Mohd. Arif pula, dia me­ngakui menerima tentangan yang sengit dalam pertemuan dengan Marteen, namun nasib lebih menyebelahi dirinya.

Katanya, dia akan memperbaiki persembahan pada pusingan kedua nanti dan mahu pergi sejauh mungkin dalam kejohanan kali ini.

Turut mengiringi Zulfadli dan Mohd. Arif ke pusingan kedua dalam kategori perseorangan lelaki ialah Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menewaskan pemain Singapura, Lee Kwan Ting Sean 21-15, 21-19 dan Chong Wei Feng yang menewaskan Sony Dwi Kuncoro 14-21, 21-15, 21-16.

Selain itu, Tan Kian Meng turut melangkah ke pusingan seterusnya apabila menewaskan wakil Taiwan, Hsueh Hsuan Yi 21-17, 21-18 manakala Soo Teck Zhi mengetepikan pemain Singapura, Loh Kean Yew 21-18, 18-21, 21-16.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Lydia Cheah turut menempah tiket ke pusingan seterusnya apabila menewaskan pemain Taiwan, Lee Chia Hsin 22-20, 21-15.

Pasangan beregu utama wanita negara yang juga pilihan keenam kejohanan, Vivian Kah Mun/Khe Wei Woon turut melepasi halangan pertama selepas menewaskan beregu Indonesia, Anggia Shitta Awanda/Mahadewi Istirani 22-20, 21-12.

Bagi beregu lelaki pula, pasa­ngan Lim Khim Wah/Ow Yao Han turut mara selepas menewaskan pasangan England, Andrew Ellis/Peter Mills 21-19, 17-21, 21-14.

Satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Hoon Thien How/Tan Boon Heong turut melepasi halangan beregu Taiwan yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Liang Jui Wei/Lu Chia Pin 21-16, 21-17 manakala gandingan Goh V Shem/Tan Wee Keong menewaskan pasangan Korea Selatan, Jung Bong Chan/Kim Duck Young 21-14, 21-8.

Promo text


Comment

HighlightSUKAN

Tak sangka menang besar

884 reads
0 likes
Tak sangka menang besar
HighlightSUKAN

Khairy mahu MIM ditukar ?

291 reads
0 likes
Khairy mahu MIM ditukar ?