Highlight TEKNOLOGI

Samsung tawar beli BlackBerry pada AS$7.5b

219 reads
0 likes
Samsung tawar beli BlackBerry pada AS$7.5b

Samsung Electronics menawarkan untuk membeli BlackBerry Ltd pada pertimbangan AS$7.5 bilion (RM27 bilion) bagi menguasai beberapa paten berharga firma Kanada itu dalam usaha Samsung bersaing dengan Apple, kata sumber.

Tawaran Samsung itu yang dipercayai dikemukakan baru-baru ini, menilaikan BlackBerry pada pertimbangan AS$13.35 hingga AS$15.49 sesaham, premium antara 38-60 peratus daripada harga semasa BlackBerry.

Wakil kedua-dua syarikat serta penasihat masing-masing sudah bermesyuarat minggu lalu berhubung kemungkinan pelaksanaan janji niaga itu, kata sumber yang rapat dengan perkara itu.

Bagaimanapun, BlackBerry malam tadi mengeluarkan kenyataan mereka tidak terbabit dalam rundingan itu. Samsung juga mengeluarkan kenyataan di Seoul tidak terbabit dalam rundingan pengambilalihan itu.

Dalam pada itu, akhbar Globe dan Mail di Kanada melaporkan BlackBerry sudah menolak beberapa tawaran pengambilalihan sejak beberapa bulan lalu kerana pelabur dan pemegang saham yakin strategi penyusunan semula syarikat itu akan berhasil.

Mengikut laporan itu, lembaga pengarah BlackBerry percaya harga tawaran lebih AS$7 bilion itu masih lebih rendah daripada potensi pertumbuhan sebenar syarikat dalam beberapa tahun lagi.

Penganalisis di Morningstar, Brian Colello, berkata BlackBerry dalam proses peralihan, jadi pelaburan ketika ini adalah pertaruhan untuk masa depan.

"Jadi dapat dilihat bahawa Samsung mahu mengambil kesempatan ketika ini untuk menuai hasil pada masa depan," katanya.

Bagi Colello, kekuatan Samsung sebagai pengeluar telefon pintar nombor satu dunia adalah menerusi pengeluaran peranti untuk pasaran pengguna yang kini semakin sesak. Dengan mengambil alih BlackBerry, Samsung boleh menembusi pasaran korporat.

"Berapa banyak telefon Samsung yang anda lihat di pejabat. Inilah peluang untuk Samsung untuk menembusi pasaran korporat," kata penganalisis di BGC Partners, Colin Gillis.

Sebarang usaha untuk bekerjasama atau mengambil alih BlackBerry perlu mendapat restu Prem Watsa yang mana firma pelaburannya Fairfax Financial Holdings Ltd adalah pemegang saham terbesar.

Pengambilalihan itu juga perlu mendapat restu pihak berkuasa di Ottawa dan Washington. Mengikut undang-undang Kanada, pengambilalihan firma asing terhadap BlackBerry perlu mendapat kelulusan kerajaan mengikut Akta Industri Kanada.

Sistem rangkaian BlackBerry menguruskan trafik e-mel beribu-ribu pelanggan korporat, jabatan kerajaan dan agensi keselamatan di seluruh dunia.

Portfolio paten BlackBerry dianggarkan merangkumi sejumlah 44,00 paten bernilai lebih AS$1.43 bilion (RM5.1 bilion) pada Ogos lalu, walaupun penganalisis yakin nilainya jauh lebih tinggi daripada itu.

BlackBerry baru-baru ini melancarkan Classic, model yang disasar mengembalikan kegemilangan model Bold dan Curve. Syarikat Kanada itu bekerjasama dengan Celcom memperkenalkan model itu di Malaysia semalam.

Harga runcit telefon baharu dengan pakej First ialah RM1,588 seunit.

Promo text


Comment