Highlight SUKAN

Sukan renang sepi

206 reads
0 likes
Sukan renang sepi

APA sudah jadi dengan sukan renang? Mana pergi bakat baharu yang dilahirkan oleh persatuan negeri? Itu dilema yang dihadapi ketua jurulatih renang negara, Paul Birmingham yang resah dengan jumlah atlet renang yang ada sekarang. Malah, desakan agar persatuan renang di setiap negeri melahirkan lebih ramai perenang pelapis perlu dipandang serius memandangkan perenang elit yang ada sekarang semakin berkurangan.

“Setiap persatuan negeri perlu melakukan sesuatu untuk melahirkan lebih ramai perenang bertaraf bintang dalam masa terdekat.

“Realitinya, skuad renang kita semakin ‘tenat’ tanpa kehadiran muka-muka baharu untuk mewakili negara. Sampai bila kita perlu terus bergantung kepada Khoo Cai Lin yang kini sudah berusia 27 tahun dan Daniel Bego, 26 tahun. Mereka juga mempunyai komitmen lain dan tidak mungkin bertahan lebih lama.

“Sejak lima tahun lalu, kami menanti persatuan negeri untuk memberi nama atau mencadangkan perenang muda berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Malangnya, tiada apa yang berlaku sehingga sekarang,” luah jurulatih dari Australia itu.

Birmingham juga menjelaskan sejak 18 bulan yang lalu, beliau selaku ketua jurulatih telah mengambil pendekatan proaktif dengan memantau bakat-bakat yang lahir daripada Sukan Malaysia dan beberapa kejohanan domestik.

“Sebaik saja saya kenal pasti perenang yang boleh diketengahkan, saya terus berjumpa dan berbincang dengan ibu bapa perenang tersebut. Usaha saya itu sedikit sebanyak membuahkan hasil apabila saya menjumpai Nadia Adrianna Redza yang berusia 16 tahun dan dia sudah diserapkan dalam skuad elit di samping Shaun Yap Kah Choon dan Yap Siew Hui,” jelas Birmingham.

Apa yang lebih membimbangkannya sekarang ialah ketiadaan program pembangunan untuk sukan renang di setiap negeri dan ia mengakibatkan pasukan kebangsaan berada dalam keadaan kritikal kerana atlet pelapis sangat terhad.

“Kita memerlukan lebih ramai perenang. Jika tidak, mungkin skuad renang kita berdepan masa depan yang gelap. Lihat saja baru-baru ini, kita kehilangan Christina Loh yang meninggalkan pasukan kerana melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.

“Dengan kebangkitan pasukan negara lain seperti Singapura dan Vietnam sebagai kuasa renang di Asia, Malaysia perlu lakukan sesuatu dan kunci utama ialah mempunyai perenang muda yang berbakat,” tegasnya yang telah bersama skuad kebangsaan sejak 2007.


Promo text


Comment

HighlightSUKAN

Tak sangka menang besar

883 reads
0 likes
Tak sangka menang besar
HighlightSUKAN

Khairy mahu MIM ditukar ?

290 reads
0 likes
Khairy mahu MIM ditukar ?