Highlight GAYA HIDUP

Bakar kalori dengan Zumba

827 reads
0 likes
Bakar kalori dengan Zumba

Keseimbangan gaya hidup dipengaruhi banyak perkara dan salah satu daripadanya adalah rutin senaman. Namun begitu, bentuk senaman yang sama setiap hari kadang-kala boleh menimbulkan rasa bosan sehingga boleh mengurangkan dorongan untuk terus melakukan aktiviti sebegini.

Seiring perubahan zaman, trend gaya hidup sihat menjadi semakin popular. Ditambah pula dengan rutin senaman menarik yang pelbagai dan antara bentuk senaman yang diminati ramai serta sangat popular bagi semua golongan pada masa kini ialah senaman Zumba.
Pengasas senaman Zumba, Alberto Perez iaitu seorang penari dan guru tari dari Colombia pada asalnya tidak sengaja telah mencipta senaman itu. Ia berlaku apabila dia terlupa menyediakan pita rakaman muzik untuk latihan aerobik kepada muridnya dan  akibat kesuntukan masa, dia menggunakan kreativiti yang ada sehingga menghasilkan senaman Zumba.

Dengan kemahiran dan kreativiti itulah dia mengeksploitasi pelbagai adunan rentak muzik yang didatangkan bersama pergerakan lincah secara spontan di dalam kelas senamannya itu.
Ekoran daripada itu, maka lahirlah senaman Zumba yang menghimpunkan pelbagai rentak muzik. Senaman itu turut digabungkan dengan tarian tertentu sehingga menjadikannya sebagai pergerakan senaman yang cukup berkesan bagi membina kekuatan otot dan merangsang kesihatan badan.

Senaman Zumba merupakan salah satu bentuk senaman yang cukup istimewa kerana ia direka khas dengan koreografi yang sesuai untuk semua peringkat umur dan jantina. Bukan itu sahaja, setiap langkahnya juga agak mudah dan tidak begitu rumit.
Apa yang lebih menarik, setiap satu sesi senaman Zumba iaitu selama 45 minit sehingga satu jam dapat membakar sekurang-kurangnya 500 hingga 1000 kalori serta mampu meningkatkan ketahanan fizikal dan kardiovaskular serta meningkatkan metabolisme.

Selain daripada itu, senaman Zumba yang melibatkan tarian ala Latin ini banyak memerlukan pergerakan pinggul, maka secara tidak langsung ia dapat menguatkan bahagian abdomen dan seterusnya membentuk perut langsing dan kempis seperti yang diidamkan oleh ramai orang.
Bagi anda yang aktif, suka menari dan gemar melakukan senamrobik yang sedikit berbeza daripada rutin senaman biasa anda, apa kata jadikan Zumba sebagai salah satu aktiviti dalam senarai latihan senaman anda.
Senaman berbentuk tarian ini merupakan alternatif untuk menurunkan berat badan di samping dapat belajar menari dengan cara yang menghiburkan tanpa rasa bosan.  – FATIEHAH/ SAHARUDDIN ABDULLAH

Berbeza daripada senaman lain

Sebagai tenaga pengajar untuk kelas Zumba, Hairuj Badura atau lebih dikenali sebagai Zin Dora memberitahu senaman Zumba merupakan satu bentuk senaman yang sangat berbeza daripada senaman lain.
“Zumba sangat berbeza terutama daripada segi pergerakan dan muzik. Pergerakannya lebih laju dan pantas serta memerlukan pergerakan yang tertumpu pada keseluruhan anggota badan. Malah lagu yang dimainkan sewaktu melakukan senaman ini juga agak rancak.

“Pergerakan senaman ini juga memerlukan keselarasan dengan koordinasi badan agar dapat memberikan impak kepada bahagian anggota tubuh kerana gerakan bertenaganya mampu menimbulkan kontraksi pada otot,” katanya,
Menurutnya lagi, Zumba merupakan salah satu cara untuk melakukan aktiviti senaman dengan seronok. Ia bukan sahaja bagus untuk kesihatan dan kecergasan, malah mampu mengurangkan tekanan atau stres di tempat kerja.

“Selain itu, untuk mempelajari teknik senaman Zumba yang betul, setiap jurulatih perlu memiliki lesen yang diiktiraf. Jadi, sebagai seorang jurulatih Zumba bertauliah, mereka yang menyertai kelas ini tidak perlu berasa teragak-agak dengan keberkesanan senaman Zumba untuk kesihatan.

“Gerakan-gerakan menarik dan menyeronokkan membuatkan kita tidak akan terasa seperti sedang bersenam tetapi sedang menari. Malah, semua golongan juga dapat menyertai senaman ini kerana terdapat Zumbatomic untuk kanak-kanak, Zumba Gold bagi golongan berusia dan Zumba Aqua yang dilakukan dalam kolam renang,” tambahnya lagi.

Senaman yang menyeronokkan

Keseronokan senaman Zumba menjadi salah satu sebab mengapa Nor Amalina Abdul Karim, 24, memilih aktiviti ini sebagai rutin senamannya.
“Saya mula mempelajari Zumba sewaktu menuntut di universiti tiga tahun lalu. Pada mulanya, saya hanya belajar melalui YouTube bersama rakan-rakan kerana bosan dengan rutin senaman biasa seperti berjoging.

“Tambahan lagi, saya memang suka menari. Jadi, ia merupakan satu perkara yang menyeronokkan apabila kita dapat melakukan aktiviti yang sememangnya kita minati. Malah, kita juga akan berasa lebih puas dan gembira bila dapat menjadikan hobi sebagai suatu aktiviti yang memberikan manfaat kepada kesihatan tubuh badan,” katanya.

Menurutnya lagi, gerakan tarian Zumba yang menumpukan pergerakan keseluruhan anggota badan menjadikannya satu bentuk senaman yang menarik, menyeronokkan dan berkesan untuk mengurangkan berat badan.
Selain itu, senaman ini juga tidak memerlukan penggunaan sebarang alatan ataupun mesin. Bagi mereka yang malu untuk menari, terutama wanita, banyak gimnasium atau pusat kesihatan yang menyediakan sesi latihan dalam kumpulan kecil dan mengasingkan antara lelaki dan wanita bagi memberi lebih keselesaan.

“Menariknya juga, rutin senaman Zumba tidak membebankan. Bagi saya, tidak ada langkah yang salah atau betul ketika menari Zumba. Apa yang penting, ayunkan badan mengikut alunan lagu dan nikmati keseronokan melakukan senaman berbentuk tarian ini,” jelasnya.

Bertemu rakan dengan minat sama

Mengikuti kelas senaman Zumba bukan sahaja dapat memberikan kebaikan dari segi kesihatan, malah dengan melibatkan diri dalam kelas ini juga dapat memberi peluang untuk mengenali rakan-rakan baharu dengan minat yang sama.
Menurut Siti Umairah Shahli,24, senaman Zumba merupakan satu senaman yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan dalam kumpulan. Apabila melakukan sesuatu perkara bersama orang lain, ia akan menjadikan aktiviti tersebut lebih menggembirakan.

“Pada awalnya, saya mengikuti kelas Zumba kerana terpengaruh dengan ajakan rakan. Lama-kelamaan, minat mula timbul setelah kita kenal dan tahu apa itu Zumba.
“Tambahan lagi, sebagai seorang yang bergelar ibu, sudah pasti saya mahukan tubuh badan yang cantik. Dorongan daripada suami juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengikuti kelas ini.

“Selain itu, kelas ini sangat bagus kerana ia ada komunikasi di antara jurulatih dan pelajar. Jadi, jika kita melakukan kesilapan ataupun tidak dapat melakukan sesuatu pergerakan, jurulatih akan memberikan tunjuk ajar dan penerangan agar kita lebih mahir melakukan senaman ini,” katanya.

Senaman berbentuk hiburan

Setiap senaman yang dilakukan haruslah bersesuaian dengan kemampuan fizikal individu dan Zumba boleh dikatakan sebagai senaman berbentuk hiburan yang sesuai untuk semua golongan dan setiap peringkat umur.
Menurut Fauzan Fadzil, 27, yang mengikuti kelas Zumba di Celebrity Fitness, gerakan Zumba mempunyai fasa-fasa yang boleh dilakukan oleh semua orang bermula dengan langkah asas bagi mereka yang baru belajar dan golongan berusia sehinggalah langkah yang lebih rumit bagi mereka yang sudah mahir.

“Golongan remaja pula cukup  sinonim sebagai golongan yang sukakan hiburan dan aktiviti ini boleh dianggap sebagai satu bentuk hiburan yang berfaedah kepada golongan remaja kerana ia dapat meningkatkan kecergasan diri untuk terus aktif melakukan aktiviti lain.

“Apa yang lebih menarik, Zumba mempunyai kelebihan di mana ia tidak membosankan seperti senaman lain dan dalam masa yang sama, sebagai seorang yang suka menari, saya dapat mempelajari pelbagai jenis tarian lain yang dikompilasikan dalam satu senaman seperti ini.

“Senaman ini sangat efektif  bagi tujuan menguruskan badan kerana ketika menari, kita akan berasa seronok dan membuatkan kita tidak berasa cepat letih. Justeru, jika kita  menari tanpa henti sehingga satu jam sekalipun, keletihan itu tidak akan begitu terasa,” katanya.

Tambahnya lagi, senaman berbentuk hiburan ini akan membuatkan orang akan terus melakukannya tanpa berasa bosan kerana lagu-lagunya yang menghiburkan, di samping gerakan langkah yang pelbagai dan mudah untuk diikuti.

Promo text


Comment

HighlightGAYA HIDUP

Patah hati bawa bencana

392 reads
0 likes
Patah hati bawa bencana