Highlight SUKAN

Zaiton Pesuruhjaya Sukan wanita pertama

271 reads
0 likes
Zaiton Pesuruhjaya Sukan wanita pertama

Datuk Zaiton Oth­man memahat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan, malah menjadi bekas atlet pertama menduduki jawatan berkenaan.

Zaiton yang ketika ini meme­gang jawatan Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ahmad Shapawi Ismail bermula pada 1 Februari ini. Pelantikan tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin semalam.

Pernah dikenali sebagai ‘wanita besi’ negara kerana kehebatannya dalam acara heptatlon sekitar 1980-an, Zaiton mengakui tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Sukan amat besar, namun beliau ber­azam untuk tidak mempersiakan kepercayaan yang diberikan oleh Khairy.

Malah, Zaiton juga amat berterima kasih kepada Khairy kerana memberi kepercayaan kepada wanita untuk mengetuai salah satu pentadbiran dalam Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya percaya semua tanggungjawab ini dapat dilaksanakan de­ngan baik sekiranya mempunyai keghairahan untuk melaksanakannya dengan baik.

“Malah saya harap apabila menggalas tugas itu nanti, semua keputusan dapat dibuat secara bersama, sekali gus dapat memudahkan se­mua perjalanan kerja,” katanya ke­pada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Sementara itu, Khairy dalam ke­nyataannya berkata, pelantikan Zai­ton dibuat bagi menggantikan ke­kosongan Ahmad Shapawi yang kini mengalas tugas sebagai Ketua Pengarah MSN.

“Dengan pelantikan ini, Datuk Zaiton, 55, merupakan wanita dan bekas atlet pertama menyandang jawatan Pesuruhjaya Sukan.

“Saya ingin mengucapkan se­tinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Zaiton dan berharap beliau dapat menggalas tugas baharu itu dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi,” katanya dalam kenyataan itu.

Zaiton yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang adalah ratu dalam acara heptatlon dan 400 meter sekitar 1980-an, malah beliau masih memegang rekod kebangsaan dalam acara heptatlon yang dilakukan pada Sukan SEA Manila 1981.

Ketika Sukan SEA 1981, beliau me­menangi tiga pingat emas. Kece­merlangan yang diraih membolehkannya menerima anugerah Olahragawati Kebangsaan setahun kemudian.

Beliau memegang ijazah sarja­na muda Pendidikan Fizikal dari Universiti Pertanian Malaysia dan ijazah sarjana dalam Psikologi Sukan dari Universiti San Diego State, California, Amerika Syarikat.

Zaiton juga pernah menjadi guru sebelum memulakan perkhidmatan beliau di MSN sebagai pegawai sukan pada September 1989 dan berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Sukan di Institut Sukan Negara dari tahun 1992 hingga 2000 sebelum kembali ke MSN.


Promo text


Comment

HighlightSUKAN

Tak sangka menang besar

987 reads
0 likes
Tak sangka menang besar
HighlightSUKAN

Khairy mahu MIM ditukar ?

317 reads
0 likes
Khairy mahu MIM ditukar ?