Highlight GAYA HIDUP

Awasi kanser pangkal rahim

242 reads
0 likes
Awasi kanser pangkal rahim

KANSER antara penyakit yang cukup digeruni setiap masyarakat kerana dikategorikan dalam penyakit berisiko tinggi dan boleh membawa maut.

Selain tiada penawar yang mampu menyembuhkan secara spesifik, kanser juga antara penyakit yang menduduki carta teratas dihidapi masyarakat seluruh dunia jika dibandingkan dengan penyakit-penyakit lain.

Penyakit kanser juga dikatakan berpunca daripada gaya hidup yang diamalkan seharian, malah hari ini antara penyakit kanser yang menjadi ketakutan kaum Hawa ialah kanser pangkal rahim atau pun kanser serviks.


Statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2013 menunjukkan kira-kira 17.9 daripada 100 000 wanita dalam kalangan usia reproduktif di negara ini berisiko mengalami kanser pangkal rahim setiap tahun.

Sebanyak 2126 wanita pula berkemungkinan menghidap penyakit ini setiap tahun dengan kadar kematian adalah 631 orang dan menjelang 2025, dijangkakan 3502 wanita akan terdedah dengan kanser ini dengan jumlah kematian mencecah 1118 orang.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin, statistik tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa kanser pangkal rahim semakin serius.

Tambah beliau, kanser pangkal rahim kini berada di tangga ketiga carta selepas kanser payu dara dan kanser korektoral.


“Di Malaysia hari ini sebanyak 60 peratus pesakit kanser pangkal rahim yang dikesan sudah berada pada tahap tiga dan empat.

“Peratusan ini juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebanyakan pesakit tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit ini.

“Jadi, apa yang boleh diberitahu di sini ialah prihatin terhadap perubahan yang berlaku pada badan masing-masing selain mengambil berat sekiranya berlaku sebarang pendarahan yang luar biasa,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai penyakit tersebut, ulas Dr. Dalilah, punca utama berlakunya kanser pangkal rahim disebabkan jangkitan kuman yang dibawa oleh virus Human Papillomavirus (HPV).

HPV berpotensi berada dalam badan setiap manusia khususnya individu yang tidak menjaga kebersihan organ sulit, melakukan seks rambang atau seks sejenis sama ada melalui oral, sentuhan, dan alat sulit.

Terdapat lebih 100 jenis HPV yang ditemui namun, HPV 16 dan HPV 18 merupakan virus paling berbahaya yang mengundang penyakit tersebut.

Katanya, wanita yang mula terjebak dengan aktiviti seksual berisiko tinggi untuk mendapat kanser serviks kerana kebanyakan HPV dipindahkan kepada seorang wanita melalui hubungan seks bersama pasangan masing-masing.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr. Dalillah memberitahu, kanser pangkal rahim boleh dicegah jika didiagnos awal. Ini kerana ia boleh dirawat dan bukan seperti kanser payu dara.

“Peringkat mana ia dikesan adalah penting kerana jika hanya terhad kepada serviks dan belum lagi sampai ke saluran darah atau sistem limfa, maka pesakit boleh pulih sepenuhnya.

“Sekiranya dikesan dari peringkat awal dan selagi tidak merebak, pesakit mempunyai peluang sebanyak 90 peratus untuk pulih,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Dalillah turut menyatakan statistik pada 2012 dari Globocan menunjukkan yang paling banyak menghidap kanser pangkal rahim ialah wanita-wanita yang berumur lebih daripada 40 tahun.

Statistik di seluruh dunia pula mencatatkan sebanyak 550 000 kes baharu setiap tahun dengan separuh daripada jumlah tersebut akan menemui ajal.

Daripada angka tersebut juga mencatatkan setiap dua minit akan ada kematian di dunia manakala di Asia Pasifik pula setiap empat minit.

Untuk itu, Dr. Dalillah menyarankan agar wanita-wanita yang berusia 21 tahun dan ke atas dan aktif seksual selama dua tahun dan ke atas, digalakkan membuat saringan pap smear, sehingga berumur 65 tahun, dengan setahun ke dua tahun sekali sekurang-kurangnya.

“Pemeriksaan awal boleh dilakukan melalui ujian servik yang lebih dikenali sebagai ujian pap smear bagi mengesan perubahan sel-sel servik.

“Ujian pap smear ini juga digalakkan kepada wanita-wanita yang berumur bawah 35 tahun dan melalui pemeriksaan awal ini juga ia mampu menyelamatkan anda daripada maut,” sambung beliau lagi.

Malangnya, ujar Dr. Dalillah ramai wanita tidak menyedari tentang pentingnya untuk menjalani ujian itu secara berjadual. Ini menyumbang kepada statistik negara di mana satu dalam setiap empat orang akan mendapat kanser dan setiap 12 minit seorang wanita akan dikesan mempunyai kanser.

Sementara itu, sempena Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari ini, NCSM akan menganjurkan satu seminar untuk pengamal perubatan di negara ini.

Seminar yang diadakan buat kali kedua pada 8 Februari ini akan tertumpu kepada kajian-kajian yang dilakukan ke atas penyakit kanser selain rawatan-rawatan terkini untuk penyakit tersebut.

Jadi kepada semua kaum Hawa di luar sana, segeralah lakukan ujian saringan dan pemeriksaan awal bagi mengelak diri daripada penyakit-penyakit yang berbahaya.

Promo text


Comment

HighlightGAYA HIDUP

Patah hati bawa bencana

391 reads
0 likes
Patah hati bawa bencana