Highlight SUKAN

Luahan Raja Libas

229 reads
0 likes
Luahan Raja Libas

SIAPA tidak kenal Raja Libas negara, Adnan Saidin yang masih memegang gelaran tersebut lebih 30 tahun kerana masih belum muncul pengganti kepada legenda sepak takraw negara itu.

Menginjak usia 58 tahun,  penerima anugerah pemain terbaik Asia 1984  ini, mengakui memasang hasrat untuk melihat sukan takraw negara kembali melonjak seperti era 80-an dan 90-an lalu.

Gagal menyembunyikan perasaan duka berhubung kemerosotan sukan kebanggaan negara tersebut, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkata, takraw negara masih mampu lagi untuk mengulangi kegemilangan dengan syarat pemain perlu kembali pada disiplin sebenar.

Menurutnya, setiap perkara yang disulami dengan keazaman teguh, tahu pada pencapaian yang mahu disasarkan serta tawakal pada ALLAH SWT mampu menghasilkan satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Saya pada awal penyertaan di dalam dunia sepak takraw juga bukan mudah yang disangkakan kerana perlu bersaing dengan pemain-pemain lain untuk mewakili negara.

“Pada waktu itu, saya tahu setiap pemain ada kelebihan, sebab itu selepas sahaja tamat latihan bersama pasukan, saya akan cari masa untuk buat latihan sendiri seperti jogging di sekitar Alor Setar untuk tambah stamina, pendek kata disiplin itu keutamaan,” katanya bersyukur dianugerahkan sepasang kaki yang kuat.

Jelasnya, kejadian seorang pemain dan penyokong patah gigi termasuk seorang lawan dari negara jiran yang rebah serta sesak nafas hasil rejaman kakinya masih segar dalam ingatan.

Beliau tidak menafikan teknik libasan yang berjaya dilakukannya suatu ketika dahulu ada pada pemain hari ini yang mampu melakukan rejaman tersebut.

“Saya adalah salah seorang peminat tegar sukan sepak takraw walaupun secara rasminya bersara pada tahun 1986 untuk kebangsaan dan terus mengikuti perkembangan sehingga hari ini.

“Dilantik sebagai pemantau bakat untuk Liga Sepak Takraw tahun ini telah mendekatkan lagi saya dengan bakat-bakat sekarang dan ada di kalangan mereka mampu membuat lipatan gulung tetapi perlu diperkemaskan lagi,” katanya yang berharap kewujudan liga itu mampu melahirkan pemain berkualiti untuk negara.

Mengakui pemain sekarang lebih suka menggunakan teknik 'lipatan maniam,' namun untuk lipatan gulung masih ada lagi pemain yang mampu melakukannya.

Katanya, walau menggunakan apa-apa lipatan sekalipun, pada akhirnya apa yang mahu peminat lihat adalah kemenangan untuk pasukan kebangsaan apabila bertanding di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya bahawa takraw negara mampu untuk kembali garang di peringkat antarabangsa dan sasaran utama terdekat untuk kejohanan besar sudah tentulah Sukan Sea 2017 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah nanti.

“Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mampu memulihkan maruah negara di mata peminat dengan meraih emas di tempat sendiri.

"Oleh itu persediaan rapi perlu dibuat mulai sekarang,” gesanya.

Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini hanya menyimpulkan senyuman apabila ditanya sama ada pernah menerima tawaran untuk melatih pasukan negara sebelum ini. Kata penerima anugerah
Raja Sepak Takraw Asia pada 1986 itu, tawaran ada tetapi perlu fokus kepada kerjaya semasanya terlebih dahulu.

“Lagi dua tahun saya akan bersara dan mungkin mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya jurulatih pula selepas ini sekiranya tawaran itu masih ada,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas untuk sepak takraw di Sukan Asia adalah pada tahun 1994 di Hiroshima, Jepun dan 1995 di Chiang Mai, Thailand bagi Sukan Sea.
Promo text


Comment

HighlightSUKAN

Tak sangka menang besar

884 reads
0 likes
Tak sangka menang besar
HighlightSUKAN

Khairy mahu MIM ditukar ?

291 reads
0 likes
Khairy mahu MIM ditukar ?